Pengurusan Bilik Darjah

Konsep Pengurusan Bilik Darjah
Pengurusan bilik darjah menurut Mok Soong Sang (2011), merujuk kepada satu proses pembentukan satu alam pembelajaran yang kondusif untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta usaha-usaha untuk mengekalkannya . Suasana pembelajaran yang kondusif sangat penting agar objektif PdP dapat dicapai dan murid berasa selesa dan bermotivasi untuk belajar. Menurut Bosch (2006) pula, pengurusan bilik darjah merujuk kepada bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling bekerjasama dan bagaimana PdP berlaku. Dalam hal ini, pengurusan bilik darjah merupakan pakatan antara guru dan pelajar untuk menguruskan segala aspek yang terdapat dalam bilik darjah termasuk pengurusan pelajar, kemudahan fizikal bilik darjah serta aktiviti yang dijalankan untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran yang kondusif. 
Seorang guru bukan hanya berperanan untuk mengajar, tetapi juga bertindak sebagai pengurus, yakni mengurus bilik darjah, mengurus murid- murid supaya menjalankan tugas membersihkan bilik darjah mengikut jadual yang telah ditetapkan, memastikan murid-murid mematuhi peraturan bilik darjah, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, mengurus bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan serta mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan dengan teratur mengikut perancangan. 
Pengurusan bilik darjah yang teratur dan berkesan mampu meningkatkan prestasi akademik pelajar. Hal ini demikian kerana, pengurusan bilik darjah yang baik mampu mempengaruhi motivasi, tingkah laku, dan penglibatan pelajar dalam proses PdP. Oleh itu, seorang guru perlu bijak mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses PdP dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

No comments:

Post a Comment