Disiplin Bilik Darjah

Konsep Disiplin Bilik Darjah

Konsep disiplin mempunyai berbagai-bagai tafsiran. Mengikut Oliva (1956), disiplin merujuk kepada kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada autoriti, keadaan bilik darjah yang teratur, kursus pengajian yang sistematik, cara yang menetapkan peraturan atau hukuman.
Dalam buku Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), disiplin membawa beberapa 
maksud seperti :
·         Kesanggupan seseorang individu menghormati dan mematuhi undang-undang sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri.
·         Kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan tertib.
·         Kesanggupan seseorang menghormati hak individu lain.
·         Kesanggupan seseorang mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.
·         Kesanggupan hormat-menghormati antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong.
·         Kesanggupan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina.
·         Kesanggupan berkhidmat kepada masyarakat.
Di peringkat sekolah, disiplin merupakan peraturan-peraturan yang dikenakan kepada pelajar-pelajar dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman atau ganjaran. Justeru itu, disiplin bilik darjah merupakan peraturan-peraturan yang dikenakan kepada pelajar-pelajar supaya mereka berkelakuan baik dan mendisiplinkan diri semasa aktiviti pengajaran pembelajaran dijalankan. Bilik darjah yang berdisiplin boleh disamakan dengan suasana sosioekonomi bilik darjah yang harmonis, aktiviti pengajaran pembelajaran dapat dilaksanakan secara sistematik, teratur dan lancar tanpa sebarang gangguan.
Jenis-jenis Disiplin
Mengikut Lindgren (1976), disiplin bilik darjah boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu disiplin arahan guru, disiplin arahan kerja, disiplin arahan kumpulan dan disiplin arahan diri.
(a)  Disiplin Arahan Guru
Dalam konteks pengurusan bilik darjah, mengawal disiplin murid-murid merupakan tanggungjawab utama guru. Sesebuah kelas yang mempunyai disiplin yang baik akan menjamin segala aktiviti pengajaran pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Oleh itu, guru bertanggungjawab untuk menentukan peraturan-peraturan bilik darjah dan memastikannya sentiasa dipatuhi oleh murid-murid dalam bilik darjah. Kerja guru seperti menentukan peraturan-peraturan, mengawal murid-murid supaya mematuhinya dalam bilik darjah, menghukum murid yang melanggar disiplin merupakan jenis disiplin arahan guru.
            Disiplin arahan guru ini mempunyai ciri autokratik, iaitu guru mempunyai kuasa yang mutlak atas kawalan, arahan, pengurusan dan hukuman berlandaskan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Murid-murid hanya mematuhi segalanya untuk menjamin kewujudan disiplin yang baik di dalam bilik darjah.
            Oleh sebab guru mempunyai kuasa mendenda murid yang melanggar peraturan, jenis disiplin ini juga mempunyai ciri menghukum. Kedua-dua ciri disiplin arahan guru, iaitu ciri autokratik dan ciri menghukum telah menjadi amalan guru dalam pengurusan disiplin bilik darjah. Dengan kata lain, di bawah disiplin arahan guru, murid-murid diwajibkan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Sekiranya terdapat murid yang melanggar disiplin, dia akan dihukum mengikut peraturan atau cara yang difikirkan sesuai.
(b)  Disiplin Arahan Kerja
Disiplin arahan kerja diwujudkan apabila sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru perla diselesaikan oleh murid dalam tempoh masa yang ditetapkan. Disiplin jenis ini dibentuk berlandaskan kesedaran keperluan dan tanggungjawab serta kebaikannya untuk murid-murid mematuhi arahan dan menyempurnakan tugasan mengikut jadual.
            Disiplin arahan kerja ini mempunyai ciri motivasi yang positif kerana disiplin jenis ini dapat menggalakkan murid menyelesaikan tugasan untuk kebaikan dan kepentingan sendiri. Sememangnya, tidak semua murid mempunyai disiplin arahan kerja dan mematuhi arahan guru dalam menyempurnakan tugasan mereka mengikut jadual. Mematuhi disiplin jenis ini bergantung kepada kematangan murid serta jenis tugasan yang diberikan. Secara amnya, disiplin arahan kerja dapat diwujudkan apabila tugasan yang diberikan adalah menarik, bermakna, boleh disempurnakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan, sesuai dengan umur dan keupayaan murid itu.
(c)  Disiplin Arahan Kumpulan
Disiplin arahan kumpulan diwujudkan antara ahli dalam dinamika kumpulan yang sedia ada atau dalam pembentukan berbagai-bagai kumpulan dengan tujuan menjalankan sesuatu aktiviti pembelajaran.
            Sebagaimana yang telah diketahui, dinamika kumpulan dibentuk berdasarkan kepada norma, nilai dan kepercayaan ahli-ahli yang serupa. Oleh itu, tingkah laku murid dapat dikawal semasa interaksi berlaku di antara rakan sebaya. Proses penyesuaian mengikut norma satu-satu kumpulan akan berlaku, menghasilkan kawalan disiplin di antara ahlinya. Murid yang tidak mematuhi norma dinamika kumpulan itu akan disingkirkan. Proses penyesuaian dan penyingkiran yang berlaku antara ahli dalam dinamika kumpulannya menghasilkan disiplin arahan kumpulan. Guru yang cekap dalam pengurusan bilik darjah, biasanya boleh menggunakan dinamika kumpulan itu untuk mengawal setengah-setengah murid yang sering melanggar disiplin bilik darjah. Bimbingan yang sesuai harus diberikan kepada ketua-ketua kumpulan mereka supaya norma dan kepercayaan yang diamalkan adalah sesuai, sihat dan setimpal dengan disiplin bilik darjah.
            Disiplin arahan kumpulan juga boleh diwujudkan dalam aktiviti kumpulan, misalnya semasa sekumpulan murid menjalankan aktiviti pengayaan atau melaksanakan sesuatu kerja projek. Dalam aktiviti tersebut, tugas kawalan disiplin murid biasanya diserahkan lepada ketua kumpulan mereka. Di bawah kawalan ketua kumpulan, murid-murid dapat melaksanakan aktiviti kumpulan secara sistematik, teratur serta licin. Keadaan seperti ini boleh disamakan dengan kewujudan disiplin arahan kumpulan dalam kalangan kumpualan mereka.
(d)  Disiplin Arahan Diri
Disiplin arahan diri bermaksud keadaan yang membuat murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang sudah ditentukan tanpa dikenakan denda atau diberi ganjaran. 
          Takrif disiplin arahan diri ini membawa implikasi murid-murid mematuhi peraturan-peraturan sekolah secara sukarela tanpa dipaksa atau diarah oleh guru. Disiplin arahan diri diwujudkan atas kesedaran bahawa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah semata-mata untuk kebaikan murid-murid itu sendiri.
          Disiplin arahan diri biasanya boleh diwujudkan secara tidak sedar apabila murid-murid telah mencapai tahap kematangan, iaitu boleh berfikir secara rasional. Walau bagaimanapun, nilai disiplin jenis ini boleh dipupuk melalui latihan dan bimbingan guru seperti menerangkan kepentingan dan kebaikan mematuhi peraturan-peraturan sekolah kepada murid-murid, menyerapkan nilai-nilai murni seperti keadilan, hormat-menghormati hak orang lain, timbang rasa, toleransi dan kerjasama dalam aktiviti pengajaran pembelajaran serta aktiviti kokurikulum.
          Antara empat jenis disiplin yang dibincangkan, disiplin arahan diri merupakan jenis disiplin yang paling berkesan dalam pengurusan disiplin bilik darjah. Apabila murid-murid mulai sedar betapa pentingnya mematuhi peraturan-peraturan sekolah, masalah disiplin di sekolah akan dapat dikurangkan ke peringkat yang minimum
Punca Masalah Disiplin Di Dalam Bilik Darjah
Antara punca masalah disiplin termasuk:
·         kebosanan, guru telah gagal menyediakan aktiviti yang menarik, mencabar dan sesuai dengan tahap pencapaian pelajar
·         pelajar tidak mampu menyiapkan kerja yang diberi oleh guru kerana terlalu sukar, kurang jelas dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai serta tempoh masa bagi aktiviti adalah terlalu lama
·         pengurusan guru adalah lemah, contohnya bahan bantu visual tidak berfungsi dan terlalu banyak halangan yang mengganggu kelancaran pengajaran
·         keliru dengan ekspektasi guru, guru tidak memberitahu secara jelas dan eksplisit tentang    apa yang diinginkan daripada pelajar.
·         Interaksi rakan sebaya, perbualan atau tingkah laku tidak diingini dan gangguan dari luar sekolah kedengaran dalam bilik darjah
Harga kendiri akademik rendah, dimana murid kurang yakin pada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment