Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pengurusan Bilik Darjah
Untuk melaksanakan peranan pengurus yang berkesan,
guru perlu tahu iklim persekitaran bilik darjah dan apakah faktor-faktor yang
boleh membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang
kepada suasana tersebut. Antaranya
adalah susunan fizikal dan tempat duduk bilik darjah dan persekitaran
psikososial semasa di dalam bilik darjah.
1. Faktor fizikal
Faktor
pertama yang mempengaruhi suasana bilik darjah adalah persekitaran fizikal.
Bilik darjah yang menarik adalah kondusif untuk pembelajaran. Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik
darjah seperti kerusi-meja, buku rujukan, pusat pembelajaran, bakul sampah,
papan tulis dan lain-lain akan membantu keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-murid dalam bilik darjah. Sebagai
rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran ialah: Penyusunan kerusi-meja murid mengikut
kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid dengan murid dan
guru dengan murid.
Suasana
di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat bantu mengajar. Saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan
kepada murid-murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan.
Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan
baik serta keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah.
2. Faktor psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara
keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam
bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
·
Suasana selesa dan mesra.
·
Bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal
·
Perasaan diterima
·
Sensitif dan peka kepada perbezaan individu.
·
Suasana yang merangsang pembelajaran
·
Mewujudkan komunikasi terbuka dan menggalakkan
perkongsian idea.
·
Menggalakkan pembelajaran koperatif.
·
Peluang yang sama untuk semua pelajar.
Faktor yang memberikan kesan kepada persekitaran
psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru,
bentuk komunikasi dan corak interaksi yang beliau wujudkan di dalam bilik
darjah.
(a) Pendekatan
pengajaran
Pendekatan pengajaran guru perlu mengambil kira
keperluan murid, perkembangan kognitif dan juga gaya pembelajaran pelajar yang
berbeza. Antara keperluan pelajar
termasuklah keperluan untuk memahami matlamat dan objektif pengajaran,
melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran, mengetahui hubungan
antara perkara yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan kehidupan mereka,
menikmati kejayaan, memperoleh maklum balas dan berinteraksi secara positif
dengan rakan sebaya.
(b) Gaya
Kepimpinan guru
Gaya kepimpinan yang berbeza akan memberi kesan
kepada suasana pembelajaran pelajar.
Kepimpinan autoritarian mengawal pelajar melalui ganjaran dan hukuman
dan menekan murid yang membuat kesilapan. Ingatkah anda, guru yang sentiasa
memarahi anda, setiap kali anda membuat kesilapan seperti tidak boleh
menyelesaikan masalah matematik yang mudah? Guru jenis ini mewujudkan suasana
pembelajaran yang tertekan dan mewujudkan suasana kelas yang tidak kondusif.
Satu
lagi gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh seorang guru adalah bersifat
demokratik. Guru tersebut akan berkongsi tanggungjawabnya dengan muridnya.
Terdapat saling hormat dan percaya antara guru dengan murid. Pernahkah anda
mempunyai guru sedemikian semasa anda bersekolah? Saya rasa anda mungkin suka
pada guru jenis ini kerana dia selalu memberi galakan dan tidak memberi
desakan. Guru anda ini baik, mengambil berat, dan mesra, tetapi dia juga tegas.
Dengan berkongsi tanggungjawab, guru anda menolong anda membina penghargaan
kendiri anda. Anda berkeyakinan untuk cuba menyelesaikan soalan atau masalah yang anda tidak biasa. Penyelidikan
telah menunjukkan bahawa produktiviti dan pencapaian adalah tinggi bagi guru
yang mengamalkan kepimpinan demokratik.
Pendekatan
gaya kepimpinan yang seterusnya adalah bersifat laissez-faire. Guru akan
membuat kerja sendiri dan memberi kebebasan tanpa batasan. Murid-murid diberi kebebasan untuk membuat
kerja mereka masing-masing. Kepimpinan jenis ini menyebabkan kelas menjadi
kucar kacir. Guru bersifat laissez-faire
menyebabkan bilik darjah yang tidak terancang,
murid-murid yang ingin belajar berasa kecewa.
(c)
Komunikasi dan corak interaksi
Komunikasi
berkesan merupakan asas kepada pengurusan bilik darjah yang baik. Kemahiran
berkomunikasi berkesan memberikan peluang kepada guru bersikap mesra dan
menikmati interaksi dengan murid-muridnya. Murid akan dapat merasakan dirinya
dihargai dan disayangi oleh guru. Hal ini juga membolehkan guru menyampaikan objektif
pengajarannya dengan jelas.
Kemahiran
dalam komunikasi boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kemahiran menghantar
maklumat dan kemahiran menerima maklumat. Kemahiran menghantar maklumat
termasuklah pertuturan yang jelas dengan penggunaan bahasa yang sesuai.
Penggunaan bahasa yang sesuai juga bermakna guru perlu sopan. Guru harus
memandang ke arah murid, mewujudkan kontak mata apabila bercakap dengan murid
tersebut. Apabila menegur murid, teguran harus berfokus kepada tindakan murid
dan bukan kepada murid. Misalnya,
apabila guru hendak menegur murid yang bercakap semasa guru sedang mengajar, dia
boleh berkata ‘Perbualan kamu menyukarkan
pengajaran saya Amir’ dan bukan ‘Amir,
kamu ini bising sangat’. Maklum balas yang diberi kepada murid mesti jelas
dan spesifik. Misalnya, apabila Amir bercakap semasa cikgu sedang mengajar, dia
mengalihkan perhatian cikgu dan menyukarkan pengajaran. Sekiranya guru berkata,
‘Kamu ni kurang ajar’, kenyataan ini
umum dan tidak diberitahu Amir masalah yang sebenarnya dan bersifat menghina.
Seterusnya,
sekiranya memberikan pujian, pastikan pujian tersebut spesifik untuk tingkah
laku yang ditunjukkan murid. Misalnya, jika pencapaian seseorang murid
bertambah baik, guru boleh berkata ‘Usaha
kamu telah membawa kepada kejayaan ini, tahniah!’ dibandingkan dengan ‘Tahniah kamu dapat markah tinggi!’.
Kemahiran
menerima maklumat atau kemahiran mendengar penting dalam menjalinkan hubungan
dengan murid. Seseorang murid akan berasa dirinya dihormati dan penting apabila
guru memberikan perhatian kepada pandangannya. Semasa mendengar, guru perlu
sensitif terhadap apa yang dikatakan oleh murid dan memberikan respons yang
wajar. Memberikan respons dengan cepat semata-mata supaya guru boleh meneruskan
kerjanya boleh menyebabkan guru terlepas pandang perkara sebenar yang ingin
disampaikan oleh murid. Maka guru mesti sabar dan memberikan respons seperti
mengangguk kepala, mengerut dahi dan menjawab ‘Aha’ atau ‘Oh’, mengulang semula
apa-apa yang dikatakan oleh murid misalnya, ‘Maksud
kamu...’ atau ‘Jadi kamu sebenarnya...’. Apabila guru memberikan respons, murid akan
terdorong untuk meluahkan rasa hati kerana dia merasakan guru berminat dengan
perkara yang hendak dikatakannya.
Komunikasi
dua hala turut menggalakkan interaksi antara guru dan murid. Pada masa yang
sama, guru boleh merancang aktiviti untuk murid boleh bekerja dalam kumpulan
dan saling membantu serta bertukar idea. Namun, kadang kala sesetengah murid
akan menghadapi masalah dalam menyesuaikan diri di dalam kelas. Ada murid yang
bersikap introvert, mungkin tersingkir dan sukar diterima oleh rakan. Manakala
murid yang ekstrovert yang ingin didampingi oleh ramai murid di dalam kelas.
Guru dapat mengetahui tahap interaksi sosial melalui pemerhatian dengan
menggunakan teknik sosiometri. Pengetahuan tahap sosial murid membantu guru
membentuk kumpulan yang dapat bekerjasama.
Rumusannya,
guru tidak harus mengamalkan jenis komunikasi yang bersifat sehala. Komunikasi yang diamalkan oleh guru ialah
komunikasi yang terbuka dan bersifat dua hala.
Dengan cara komunikasi begini, anda akan menggalakkan murid untuk
melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
No comments:
Post a Comment