Pengurusan Bilik Darjah : Cikgu Aalina
" Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatkanmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Di samping itu, ianya menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang yang soleh." ~Imam As-Syafie~
Wednesday, May 25, 2016
Monday, April 4, 2016
Monday, March 28, 2016
Saturday, March 19, 2016
Pengurusan Bilik Darjah
Konsep
Pengurusan Bilik Darjah
Pengurusan bilik darjah menurut Mok Soong Sang
(2011), merujuk kepada satu proses pembentukan satu alam pembelajaran yang
kondusif untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta usaha-usaha
untuk mengekalkannya . Suasana pembelajaran yang kondusif sangat penting agar
objektif PdP dapat dicapai dan murid berasa selesa dan bermotivasi untuk
belajar. Menurut Bosch (2006) pula, pengurusan bilik darjah merujuk kepada
bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling bekerjasama dan
bagaimana PdP berlaku. Dalam hal ini, pengurusan bilik darjah merupakan pakatan
antara guru dan pelajar untuk menguruskan segala aspek yang terdapat dalam
bilik darjah termasuk pengurusan pelajar, kemudahan fizikal bilik darjah serta
aktiviti yang dijalankan untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran yang
kondusif.
Seorang guru bukan hanya
berperanan untuk mengajar, tetapi juga bertindak sebagai pengurus, yakni
mengurus bilik darjah, mengurus murid- murid supaya menjalankan tugas
membersihkan bilik darjah mengikut jadual yang telah ditetapkan, memastikan
murid-murid mematuhi peraturan bilik darjah, mengurus keadaan fizikal bilik
darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan
pembelajaran, mengurus bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran agar lebih
berkesan serta mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan dengan
teratur mengikut perancangan.
Pengurusan bilik darjah yang
teratur dan berkesan mampu meningkatkan prestasi akademik pelajar. Hal ini
demikian kerana, pengurusan bilik darjah yang baik mampu mempengaruhi motivasi,
tingkah laku, dan penglibatan pelajar dalam proses PdP. Oleh itu, seorang guru
perlu bijak mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses
PdP dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
Rutin Pengurusan Bilik Darjah
Konsep
Rutin
Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti
pengurusan harian bilik darjah. Ia juga
adalah satu prosedur yang tetap dan perlu dijalankan sebagai aktiviti harian
bilik darjah. Rutin pengurusan bilik
darjah yang sistematik bukan hanya membentuk persekitaran bilik darjah yang
kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga meningkatkan semangat
kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan disiplin kendiri murid. Tambahan pula, ia menjimatkan masa dan tenaga
guru dan murid, dan memupuk sikap yang baik dalam diri murid seperti bersifat
koperatif dan bertanggungjawab.
Guru
perlu menerangkan kepada murid tentang rutin bilik darjah pada awal tahun. Semua murid perlu faham dan jelas tentang
rutin, peraturan dan prosedur bilik darjah supaya mereka boleh menjalankan
tanggungjawab mereka secara ikhlas dan sukarela. Contoh rutin bilik darjah termasuklah
mengambil kehadiran murid, memungut yuran, menyusun kerusi dan meja serta
menyiapkan jadual bertugas.
Jenis-jenis
Rutin
(a) Rutin
Kelas (bukan akademik)
Seorang guru perlu mewujudkan persekitaran fizikal
bilik darjah yang kondusif dan membuat beberapa peraturan dan prosedur asas
bilik darjah untuk memudahkan proses pelaksanaan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah.
Pengurusan peraturan dan kebersihan bilik darjah juga bertujuan untuk
mengurangkan masalah disiplin dan memastikan bilik darjah berada dalam suasana
yang kondusif.
Contoh
rutin bilik darjah: mengurus kebersihan
bilik darjah, termasuk menyapu lantai, menyusun kerusi dan meja serta
membersihkan papan tulis, membentuk peraturan dan jadual bertugas murid.
Carta organisasi kelas 4 Sains 3 |
Susunan meja murid kelas 4 Sains 3 |
Suasana kelas 4 Sains 3 |
(b) Rutin
Pentadbiran
Guru juga memainkan peranan sebagai seorang
pentadbir. Adalah penting bagi seorang
guru mengurus pentadbiran bilik darjah secara berkesan kerana ini akan membantu
murid-murid belajar dalam suasana yang selesa dan tenteram. Ini dapat
menjimatkan masa dan tenaga guru serta murid. Ini boleh memberi manfaat kepada pembelajaran murid. Murid akan lebih berasa selamat dan
berdisiplin.
Contoh
rutin pentadbiran: mengambil kehadiran
murid, memungut yuran (seperti yuran peperiksaan, derma PIBG), menyediakan
laporan kemajuan murid dan rekod kesihatan murid.
(c) Rutin Pergerakan Murid
Murid perlu tahu prosedur pergerakan dari satu
aktiviti atau bilik darjah kepada yang lain.
Contohnya kebanyakan sekolah memerlukan murid untuk beratur sebelum
pergi ke makmal sains dan komputer, bengkel kemahiran hidup dan Sains
Rumahtangga. Ini bertujuan untuk melatih
murid agar lebih berdisiplin sewaktu bergerak ke makmal atau mengikuti aktiviti
luar.
Contoh
rutin pergerakan murid: murid bergerak
dari
i. aktiviti dalam ke aktiviti luar,
ii. aktiviti kelas kepada aktiviti
kumpulan,
(d) Rutin
Pengurusan Tugasan
Rutin jenis ini termasuklah persediaan guru
terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan pembelajaran dan membina pusat
aktiviti. Untuk memastikan kelicinan
dalam mengimplementasikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu
memberitahu murid tentang hasil pembelajaran yang diharapkan, apa yang perlu
mereka lakukan dan cara mereka mengetahui pencapaian hasil pembelajaran
mereka. Guru juga perlu memantau
aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid.
(e) Rutin
Pembelajaran
Rutin jenis ini berlaku dalam pada setiap hari dan
ini membantu menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Prosedur yang betul sewaktu menjalankan rutin
adalah penting dan murid harus melibatkan diri secara langsung di mana
perlu. Contoh rutin pembelajaran: memungut buku latihan, memeriksa latihan,
mengagihkan sumber dan buku.
Buku latihan murid-murid kelas 4 Sains 3 |
(f) Rutin
Interaksi
Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah
menekankan aktiviti yang berfokuskan murid.
Interaksi seperti interaksi murid-murid dan guru-murid adalah
digalakkan. Murid perlu tahu prosedur
bertanya atau menjawab, perkara yang diharapkan semasa berada di pusat
pembelajaran semasa menjalankan perbincangan dan aktiviti bilik darjah yang
lain.
Faktor-faktor Pengurusan Bilik Darjah
Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pengurusan Bilik Darjah
Untuk melaksanakan peranan pengurus yang berkesan,
guru perlu tahu iklim persekitaran bilik darjah dan apakah faktor-faktor yang
boleh membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang
kepada suasana tersebut. Antaranya
adalah susunan fizikal dan tempat duduk bilik darjah dan persekitaran
psikososial semasa di dalam bilik darjah.
1. Faktor fizikal
Faktor
pertama yang mempengaruhi suasana bilik darjah adalah persekitaran fizikal.
Bilik darjah yang menarik adalah kondusif untuk pembelajaran. Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik
darjah seperti kerusi-meja, buku rujukan, pusat pembelajaran, bakul sampah,
papan tulis dan lain-lain akan membantu keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-murid dalam bilik darjah. Sebagai
rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran ialah: Penyusunan kerusi-meja murid mengikut
kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid dengan murid dan
guru dengan murid.
Suasana
di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat bantu mengajar. Saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan
kepada murid-murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan.
Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan
baik serta keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah.
2. Faktor psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara
keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam
bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
·
Suasana selesa dan mesra.
·
Bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal
·
Perasaan diterima
·
Sensitif dan peka kepada perbezaan individu.
·
Suasana yang merangsang pembelajaran
·
Mewujudkan komunikasi terbuka dan menggalakkan
perkongsian idea.
·
Menggalakkan pembelajaran koperatif.
·
Peluang yang sama untuk semua pelajar.
Faktor yang memberikan kesan kepada persekitaran
psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru,
bentuk komunikasi dan corak interaksi yang beliau wujudkan di dalam bilik
darjah.
(a) Pendekatan
pengajaran
Pendekatan pengajaran guru perlu mengambil kira
keperluan murid, perkembangan kognitif dan juga gaya pembelajaran pelajar yang
berbeza. Antara keperluan pelajar
termasuklah keperluan untuk memahami matlamat dan objektif pengajaran,
melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran, mengetahui hubungan
antara perkara yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan kehidupan mereka,
menikmati kejayaan, memperoleh maklum balas dan berinteraksi secara positif
dengan rakan sebaya.
(b) Gaya
Kepimpinan guru
Gaya kepimpinan yang berbeza akan memberi kesan
kepada suasana pembelajaran pelajar.
Kepimpinan autoritarian mengawal pelajar melalui ganjaran dan hukuman
dan menekan murid yang membuat kesilapan. Ingatkah anda, guru yang sentiasa
memarahi anda, setiap kali anda membuat kesilapan seperti tidak boleh
menyelesaikan masalah matematik yang mudah? Guru jenis ini mewujudkan suasana
pembelajaran yang tertekan dan mewujudkan suasana kelas yang tidak kondusif.
Satu
lagi gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh seorang guru adalah bersifat
demokratik. Guru tersebut akan berkongsi tanggungjawabnya dengan muridnya.
Terdapat saling hormat dan percaya antara guru dengan murid. Pernahkah anda
mempunyai guru sedemikian semasa anda bersekolah? Saya rasa anda mungkin suka
pada guru jenis ini kerana dia selalu memberi galakan dan tidak memberi
desakan. Guru anda ini baik, mengambil berat, dan mesra, tetapi dia juga tegas.
Dengan berkongsi tanggungjawab, guru anda menolong anda membina penghargaan
kendiri anda. Anda berkeyakinan untuk cuba menyelesaikan soalan atau masalah yang anda tidak biasa. Penyelidikan
telah menunjukkan bahawa produktiviti dan pencapaian adalah tinggi bagi guru
yang mengamalkan kepimpinan demokratik.
Pendekatan
gaya kepimpinan yang seterusnya adalah bersifat laissez-faire. Guru akan
membuat kerja sendiri dan memberi kebebasan tanpa batasan. Murid-murid diberi kebebasan untuk membuat
kerja mereka masing-masing. Kepimpinan jenis ini menyebabkan kelas menjadi
kucar kacir. Guru bersifat laissez-faire
menyebabkan bilik darjah yang tidak terancang,
murid-murid yang ingin belajar berasa kecewa.
(c)
Komunikasi dan corak interaksi
Komunikasi
berkesan merupakan asas kepada pengurusan bilik darjah yang baik. Kemahiran
berkomunikasi berkesan memberikan peluang kepada guru bersikap mesra dan
menikmati interaksi dengan murid-muridnya. Murid akan dapat merasakan dirinya
dihargai dan disayangi oleh guru. Hal ini juga membolehkan guru menyampaikan objektif
pengajarannya dengan jelas.
Kemahiran
dalam komunikasi boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kemahiran menghantar
maklumat dan kemahiran menerima maklumat. Kemahiran menghantar maklumat
termasuklah pertuturan yang jelas dengan penggunaan bahasa yang sesuai.
Penggunaan bahasa yang sesuai juga bermakna guru perlu sopan. Guru harus
memandang ke arah murid, mewujudkan kontak mata apabila bercakap dengan murid
tersebut. Apabila menegur murid, teguran harus berfokus kepada tindakan murid
dan bukan kepada murid. Misalnya,
apabila guru hendak menegur murid yang bercakap semasa guru sedang mengajar, dia
boleh berkata ‘Perbualan kamu menyukarkan
pengajaran saya Amir’ dan bukan ‘Amir,
kamu ini bising sangat’. Maklum balas yang diberi kepada murid mesti jelas
dan spesifik. Misalnya, apabila Amir bercakap semasa cikgu sedang mengajar, dia
mengalihkan perhatian cikgu dan menyukarkan pengajaran. Sekiranya guru berkata,
‘Kamu ni kurang ajar’, kenyataan ini
umum dan tidak diberitahu Amir masalah yang sebenarnya dan bersifat menghina.
Seterusnya,
sekiranya memberikan pujian, pastikan pujian tersebut spesifik untuk tingkah
laku yang ditunjukkan murid. Misalnya, jika pencapaian seseorang murid
bertambah baik, guru boleh berkata ‘Usaha
kamu telah membawa kepada kejayaan ini, tahniah!’ dibandingkan dengan ‘Tahniah kamu dapat markah tinggi!’.
Kemahiran
menerima maklumat atau kemahiran mendengar penting dalam menjalinkan hubungan
dengan murid. Seseorang murid akan berasa dirinya dihormati dan penting apabila
guru memberikan perhatian kepada pandangannya. Semasa mendengar, guru perlu
sensitif terhadap apa yang dikatakan oleh murid dan memberikan respons yang
wajar. Memberikan respons dengan cepat semata-mata supaya guru boleh meneruskan
kerjanya boleh menyebabkan guru terlepas pandang perkara sebenar yang ingin
disampaikan oleh murid. Maka guru mesti sabar dan memberikan respons seperti
mengangguk kepala, mengerut dahi dan menjawab ‘Aha’ atau ‘Oh’, mengulang semula
apa-apa yang dikatakan oleh murid misalnya, ‘Maksud
kamu...’ atau ‘Jadi kamu sebenarnya...’. Apabila guru memberikan respons, murid akan
terdorong untuk meluahkan rasa hati kerana dia merasakan guru berminat dengan
perkara yang hendak dikatakannya.
Komunikasi
dua hala turut menggalakkan interaksi antara guru dan murid. Pada masa yang
sama, guru boleh merancang aktiviti untuk murid boleh bekerja dalam kumpulan
dan saling membantu serta bertukar idea. Namun, kadang kala sesetengah murid
akan menghadapi masalah dalam menyesuaikan diri di dalam kelas. Ada murid yang
bersikap introvert, mungkin tersingkir dan sukar diterima oleh rakan. Manakala
murid yang ekstrovert yang ingin didampingi oleh ramai murid di dalam kelas.
Guru dapat mengetahui tahap interaksi sosial melalui pemerhatian dengan
menggunakan teknik sosiometri. Pengetahuan tahap sosial murid membantu guru
membentuk kumpulan yang dapat bekerjasama.
Rumusannya,
guru tidak harus mengamalkan jenis komunikasi yang bersifat sehala. Komunikasi yang diamalkan oleh guru ialah
komunikasi yang terbuka dan bersifat dua hala.
Dengan cara komunikasi begini, anda akan menggalakkan murid untuk
melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Subscribe to:
Posts (Atom)