Saturday, March 19, 2016

Rutin Pengurusan Bilik Darjah



Konsep Rutin

Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti pengurusan harian bilik darjah.  Ia juga adalah satu prosedur yang tetap dan perlu dijalankan sebagai aktiviti harian bilik darjah.  Rutin pengurusan bilik darjah yang sistematik bukan hanya membentuk persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga meningkatkan semangat kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan disiplin kendiri murid.  Tambahan pula, ia menjimatkan masa dan tenaga guru dan murid, dan memupuk sikap yang baik dalam diri murid seperti bersifat koperatif dan bertanggungjawab.

            Guru perlu menerangkan kepada murid tentang rutin bilik darjah pada awal tahun.  Semua murid perlu faham dan jelas tentang rutin, peraturan dan prosedur bilik darjah supaya mereka boleh menjalankan tanggungjawab mereka secara ikhlas dan sukarela.  Contoh rutin bilik darjah termasuklah mengambil kehadiran murid, memungut yuran, menyusun kerusi dan meja serta menyiapkan jadual bertugas.


Jenis-jenis Rutin

(a)  Rutin Kelas (bukan akademik)

Seorang guru perlu mewujudkan persekitaran fizikal bilik darjah yang kondusif dan membuat beberapa peraturan dan prosedur asas bilik darjah untuk memudahkan proses pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Pengurusan peraturan dan kebersihan bilik darjah juga bertujuan untuk mengurangkan masalah disiplin dan memastikan bilik darjah berada dalam suasana yang kondusif. 

            Contoh rutin bilik darjah:  mengurus kebersihan bilik darjah, termasuk menyapu lantai, menyusun kerusi dan meja serta membersihkan papan tulis, membentuk peraturan dan jadual bertugas murid.

Carta organisasi kelas 4 Sains 3
 
Susunan meja murid kelas 4 Sains 3

Suasana kelas 4 Sains 3


(b)  Rutin Pentadbiran

Guru juga memainkan peranan sebagai seorang pentadbir.  Adalah penting bagi seorang guru mengurus pentadbiran bilik darjah secara berkesan kerana ini akan membantu murid-murid belajar dalam suasana yang selesa dan tenteram. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga guru serta murid. Ini boleh memberi  manfaat kepada pembelajaran murid.  Murid akan lebih berasa selamat dan berdisiplin.

            Contoh rutin pentadbiran:  mengambil kehadiran murid, memungut yuran (seperti yuran peperiksaan, derma PIBG), menyediakan laporan kemajuan murid dan rekod kesihatan murid.


(c) Rutin Pergerakan Murid

Murid perlu tahu prosedur pergerakan dari satu aktiviti atau bilik darjah kepada yang lain.  Contohnya kebanyakan sekolah memerlukan murid untuk beratur sebelum pergi ke makmal sains dan komputer, bengkel kemahiran hidup dan Sains Rumahtangga.  Ini bertujuan untuk melatih murid agar lebih berdisiplin sewaktu bergerak ke makmal atau mengikuti aktiviti luar.

            Contoh rutin pergerakan murid:  murid bergerak dari
     i.    aktiviti dalam ke aktiviti luar, 
     ii.   aktiviti kelas kepada aktiviti kumpulan, 
    iii.   kelas ke makmal komputer.

Pergerakan murid dari makmal ke kelas


(d)  Rutin Pengurusan Tugasan

Rutin jenis ini termasuklah persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan pembelajaran dan membina pusat aktiviti.  Untuk memastikan kelicinan dalam mengimplementasikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memberitahu murid tentang hasil pembelajaran yang diharapkan, apa yang perlu mereka lakukan dan cara mereka mengetahui pencapaian hasil pembelajaran mereka.  Guru juga perlu memantau aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid.

(e)  Rutin Pembelajaran

Rutin jenis ini berlaku dalam pada setiap hari dan ini membantu menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Prosedur yang betul sewaktu menjalankan rutin adalah penting dan murid harus melibatkan diri secara langsung di mana perlu.  Contoh rutin pembelajaran:  memungut buku latihan, memeriksa latihan, mengagihkan sumber dan buku.

Buku latihan murid-murid kelas 4 Sains 3

(f)  Rutin Interaksi

Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah menekankan aktiviti yang berfokuskan murid.  Interaksi seperti interaksi murid-murid dan guru-murid adalah digalakkan.  Murid perlu tahu prosedur bertanya atau menjawab, perkara yang diharapkan semasa berada di pusat pembelajaran semasa menjalankan perbincangan dan aktiviti bilik darjah yang lain.

            Contoh rutin interaksi:  Perbincangan kelas dan kumpulan kecil, membuat uji kaji makmal, aktiviti kumpulan seperti main peranan dan projek.

Perbincangan kumpulan kecil

No comments:

Post a Comment