Saturday, March 19, 2016

Pengurusan Bilik Darjah



Konsep Pengurusan Bilik Darjah

Pengurusan bilik darjah menurut Mok Soong Sang (2011), merujuk kepada satu proses pembentukan satu alam pembelajaran yang kondusif untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta usaha-usaha untuk mengekalkannya . Suasana pembelajaran yang kondusif sangat penting agar objektif PdP dapat dicapai dan murid berasa selesa dan bermotivasi untuk belajar. Menurut Bosch (2006) pula, pengurusan bilik darjah merujuk kepada bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling bekerjasama dan bagaimana PdP berlaku. Dalam hal ini, pengurusan bilik darjah merupakan pakatan antara guru dan pelajar untuk menguruskan segala aspek yang terdapat dalam bilik darjah termasuk pengurusan pelajar, kemudahan fizikal bilik darjah serta aktiviti yang dijalankan untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran yang kondusif. 

Seorang guru bukan hanya berperanan untuk mengajar, tetapi juga bertindak sebagai pengurus, yakni mengurus bilik darjah, mengurus murid- murid supaya menjalankan tugas membersihkan bilik darjah mengikut jadual yang telah ditetapkan, memastikan murid-murid mematuhi peraturan bilik darjah, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, mengurus bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan serta mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan dengan teratur mengikut perancangan. 

Pengurusan bilik darjah yang teratur dan berkesan mampu meningkatkan prestasi akademik pelajar. Hal ini demikian kerana, pengurusan bilik darjah yang baik mampu mempengaruhi motivasi, tingkah laku, dan penglibatan pelajar dalam proses PdP. Oleh itu, seorang guru perlu bijak mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses PdP dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Rutin Pengurusan Bilik Darjah



Konsep Rutin

Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti pengurusan harian bilik darjah.  Ia juga adalah satu prosedur yang tetap dan perlu dijalankan sebagai aktiviti harian bilik darjah.  Rutin pengurusan bilik darjah yang sistematik bukan hanya membentuk persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga meningkatkan semangat kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan disiplin kendiri murid.  Tambahan pula, ia menjimatkan masa dan tenaga guru dan murid, dan memupuk sikap yang baik dalam diri murid seperti bersifat koperatif dan bertanggungjawab.

            Guru perlu menerangkan kepada murid tentang rutin bilik darjah pada awal tahun.  Semua murid perlu faham dan jelas tentang rutin, peraturan dan prosedur bilik darjah supaya mereka boleh menjalankan tanggungjawab mereka secara ikhlas dan sukarela.  Contoh rutin bilik darjah termasuklah mengambil kehadiran murid, memungut yuran, menyusun kerusi dan meja serta menyiapkan jadual bertugas.


Jenis-jenis Rutin

(a)  Rutin Kelas (bukan akademik)

Seorang guru perlu mewujudkan persekitaran fizikal bilik darjah yang kondusif dan membuat beberapa peraturan dan prosedur asas bilik darjah untuk memudahkan proses pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Pengurusan peraturan dan kebersihan bilik darjah juga bertujuan untuk mengurangkan masalah disiplin dan memastikan bilik darjah berada dalam suasana yang kondusif. 

            Contoh rutin bilik darjah:  mengurus kebersihan bilik darjah, termasuk menyapu lantai, menyusun kerusi dan meja serta membersihkan papan tulis, membentuk peraturan dan jadual bertugas murid.

Carta organisasi kelas 4 Sains 3
 
Susunan meja murid kelas 4 Sains 3

Suasana kelas 4 Sains 3


(b)  Rutin Pentadbiran

Guru juga memainkan peranan sebagai seorang pentadbir.  Adalah penting bagi seorang guru mengurus pentadbiran bilik darjah secara berkesan kerana ini akan membantu murid-murid belajar dalam suasana yang selesa dan tenteram. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga guru serta murid. Ini boleh memberi  manfaat kepada pembelajaran murid.  Murid akan lebih berasa selamat dan berdisiplin.

            Contoh rutin pentadbiran:  mengambil kehadiran murid, memungut yuran (seperti yuran peperiksaan, derma PIBG), menyediakan laporan kemajuan murid dan rekod kesihatan murid.


(c) Rutin Pergerakan Murid

Murid perlu tahu prosedur pergerakan dari satu aktiviti atau bilik darjah kepada yang lain.  Contohnya kebanyakan sekolah memerlukan murid untuk beratur sebelum pergi ke makmal sains dan komputer, bengkel kemahiran hidup dan Sains Rumahtangga.  Ini bertujuan untuk melatih murid agar lebih berdisiplin sewaktu bergerak ke makmal atau mengikuti aktiviti luar.

            Contoh rutin pergerakan murid:  murid bergerak dari
     i.    aktiviti dalam ke aktiviti luar, 
     ii.   aktiviti kelas kepada aktiviti kumpulan, 
    iii.   kelas ke makmal komputer.

Pergerakan murid dari makmal ke kelas


(d)  Rutin Pengurusan Tugasan

Rutin jenis ini termasuklah persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan pembelajaran dan membina pusat aktiviti.  Untuk memastikan kelicinan dalam mengimplementasikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memberitahu murid tentang hasil pembelajaran yang diharapkan, apa yang perlu mereka lakukan dan cara mereka mengetahui pencapaian hasil pembelajaran mereka.  Guru juga perlu memantau aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid.

(e)  Rutin Pembelajaran

Rutin jenis ini berlaku dalam pada setiap hari dan ini membantu menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Prosedur yang betul sewaktu menjalankan rutin adalah penting dan murid harus melibatkan diri secara langsung di mana perlu.  Contoh rutin pembelajaran:  memungut buku latihan, memeriksa latihan, mengagihkan sumber dan buku.

Buku latihan murid-murid kelas 4 Sains 3

(f)  Rutin Interaksi

Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah menekankan aktiviti yang berfokuskan murid.  Interaksi seperti interaksi murid-murid dan guru-murid adalah digalakkan.  Murid perlu tahu prosedur bertanya atau menjawab, perkara yang diharapkan semasa berada di pusat pembelajaran semasa menjalankan perbincangan dan aktiviti bilik darjah yang lain.

            Contoh rutin interaksi:  Perbincangan kelas dan kumpulan kecil, membuat uji kaji makmal, aktiviti kumpulan seperti main peranan dan projek.

Perbincangan kumpulan kecil

Faktor-faktor Pengurusan Bilik Darjah



Faktor-faktor  yang Mempengaruhi Pengurusan Bilik Darjah

Untuk melaksanakan peranan pengurus yang berkesan, guru perlu tahu iklim persekitaran bilik darjah dan apakah faktor-faktor yang boleh membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat.  Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada suasana tersebut.  Antaranya adalah susunan fizikal dan tempat duduk bilik darjah dan persekitaran psikososial semasa di dalam bilik darjah.

1. Faktor fizikal

            Faktor pertama yang mempengaruhi suasana bilik darjah adalah persekitaran fizikal. Bilik darjah yang menarik adalah kondusif untuk pembelajaran.  Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi-meja, buku rujukan, pusat pembelajaran, bakul sampah, papan tulis dan lain-lain akan membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-murid dalam bilik darjah. Sebagai rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ialah: Penyusunan kerusi-meja murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid dengan murid dan guru dengan murid.

            Suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai  carta, gambar dan alat bantu mengajar.  Saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan kepada murid-murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan. Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan baik serta keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah.

2. Faktor psikososial

Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya.  Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

·         Suasana selesa dan mesra.
·         Bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal
·         Perasaan diterima
·         Sensitif dan peka kepada perbezaan individu.
·         Suasana yang merangsang pembelajaran
·         Mewujudkan komunikasi terbuka dan menggalakkan perkongsian   idea.
·         Menggalakkan pembelajaran koperatif.
·         Peluang yang sama untuk semua pelajar.

Faktor yang memberikan kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang beliau wujudkan di dalam bilik darjah.

(a) Pendekatan pengajaran
Pendekatan pengajaran guru perlu mengambil kira keperluan murid, perkembangan kognitif dan juga gaya pembelajaran pelajar yang berbeza.  Antara keperluan pelajar termasuklah keperluan untuk memahami matlamat dan objektif pengajaran, melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran, mengetahui hubungan antara perkara yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan kehidupan mereka, menikmati kejayaan, memperoleh maklum balas dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya.

(b) Gaya Kepimpinan guru
Gaya kepimpinan yang berbeza akan memberi kesan kepada suasana pembelajaran pelajar.  Kepimpinan autoritarian mengawal pelajar melalui ganjaran dan hukuman dan menekan murid yang membuat kesilapan. Ingatkah anda, guru yang sentiasa memarahi anda, setiap kali anda membuat kesilapan seperti tidak boleh menyelesaikan masalah matematik yang mudah? Guru jenis ini mewujudkan suasana pembelajaran yang tertekan dan mewujudkan suasana kelas yang tidak kondusif.

            Satu lagi gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh seorang guru adalah bersifat demokratik. Guru tersebut akan berkongsi tanggungjawabnya dengan muridnya. Terdapat saling hormat dan percaya antara guru dengan murid. Pernahkah anda mempunyai guru sedemikian semasa anda bersekolah? Saya rasa anda mungkin suka pada guru jenis ini kerana dia selalu memberi galakan dan tidak memberi desakan. Guru anda ini baik, mengambil berat, dan mesra, tetapi dia juga tegas. Dengan berkongsi tanggungjawab, guru anda menolong anda membina penghargaan kendiri anda. Anda berkeyakinan untuk cuba menyelesaikan soalan atau  masalah yang anda tidak biasa. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa produktiviti dan pencapaian adalah tinggi bagi guru yang mengamalkan kepimpinan demokratik.

            Pendekatan gaya kepimpinan yang seterusnya adalah bersifat laissez-faire. Guru akan membuat kerja sendiri dan memberi kebebasan tanpa batasan.  Murid-murid diberi kebebasan untuk membuat kerja mereka masing-masing. Kepimpinan jenis ini menyebabkan kelas menjadi kucar kacir.  Guru bersifat laissez-faire menyebabkan bilik darjah yang tidak terancang,  murid-murid yang ingin belajar berasa kecewa.

(c) Komunikasi dan corak interaksi

            Komunikasi berkesan merupakan asas kepada pengurusan bilik darjah yang baik. Kemahiran berkomunikasi berkesan memberikan peluang kepada guru bersikap mesra dan menikmati interaksi dengan murid-muridnya. Murid akan dapat merasakan dirinya dihargai dan disayangi oleh guru. Hal ini juga membolehkan guru menyampaikan objektif pengajarannya dengan jelas.

            Kemahiran dalam komunikasi boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kemahiran menghantar maklumat dan kemahiran menerima maklumat. Kemahiran menghantar maklumat termasuklah pertuturan yang jelas dengan penggunaan bahasa yang sesuai. Penggunaan bahasa yang sesuai juga bermakna guru perlu sopan. Guru harus memandang ke arah murid, mewujudkan kontak mata apabila bercakap dengan murid tersebut. Apabila menegur murid, teguran harus berfokus kepada tindakan murid dan bukan kepada murid.  Misalnya, apabila guru hendak menegur murid yang bercakap semasa guru sedang mengajar, dia boleh berkata ‘Perbualan kamu menyukarkan pengajaran saya Amir’ dan bukan ‘Amir, kamu ini bising sangat’. Maklum balas yang diberi kepada murid mesti jelas dan spesifik. Misalnya, apabila Amir bercakap semasa cikgu sedang mengajar, dia mengalihkan perhatian cikgu dan menyukarkan pengajaran. Sekiranya guru berkata, Kamu ni kurang ajar’, kenyataan ini umum dan tidak diberitahu Amir masalah yang sebenarnya dan bersifat menghina.

            Seterusnya, sekiranya memberikan pujian, pastikan pujian tersebut spesifik untuk tingkah laku yang ditunjukkan murid. Misalnya, jika pencapaian seseorang murid bertambah baik, guru boleh berkata ‘Usaha kamu telah membawa kepada kejayaan ini, tahniah!’ dibandingkan dengan ‘Tahniah kamu dapat markah tinggi!’.

            Kemahiran menerima maklumat atau kemahiran mendengar penting dalam menjalinkan hubungan dengan murid. Seseorang murid akan berasa dirinya dihormati dan penting apabila guru memberikan perhatian kepada pandangannya. Semasa mendengar, guru perlu sensitif terhadap apa yang dikatakan oleh murid dan memberikan respons yang wajar. Memberikan respons dengan cepat semata-mata supaya guru boleh meneruskan kerjanya boleh menyebabkan guru terlepas pandang perkara sebenar yang ingin disampaikan oleh murid. Maka guru mesti sabar dan memberikan respons seperti mengangguk kepala, mengerut dahi dan menjawab ‘Aha’ atau ‘Oh’, mengulang semula apa-apa yang dikatakan oleh murid misalnya, ‘Maksud kamu...’ atau ‘Jadi kamu sebenarnya...’.  Apabila guru memberikan respons, murid akan terdorong untuk meluahkan rasa hati kerana dia merasakan guru berminat dengan perkara yang hendak dikatakannya.

            Komunikasi dua hala turut menggalakkan interaksi antara guru dan murid. Pada masa yang sama, guru boleh merancang aktiviti untuk murid boleh bekerja dalam kumpulan dan saling membantu serta bertukar idea. Namun, kadang kala sesetengah murid akan menghadapi masalah dalam menyesuaikan diri di dalam kelas. Ada murid yang bersikap introvert, mungkin tersingkir dan sukar diterima oleh rakan. Manakala murid yang ekstrovert yang ingin didampingi oleh ramai murid di dalam kelas. Guru dapat mengetahui tahap interaksi sosial melalui pemerhatian dengan menggunakan teknik sosiometri. Pengetahuan tahap sosial murid membantu guru membentuk kumpulan yang dapat bekerjasama. 

            Rumusannya, guru tidak harus mengamalkan jenis komunikasi yang bersifat sehala.  Komunikasi yang diamalkan oleh guru ialah komunikasi yang terbuka dan bersifat dua hala.  Dengan cara komunikasi begini, anda akan menggalakkan murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.